Program Rebat Bil Elektrik RM 40.00

UNTUK SIARAN SEGERA, BIL ELEKTRIK PERCUMA SEHINGGA RM 40.00 SEBULAN UNTUK BANTU KELUARGA MISKIN TEGAR DAN MISKIN eKASIH


1. Program Rebat Bil Elektrik RM 40.00 adalah program bantuan Kerajaan secara bersasar khusus kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem eKasih.

2. Di bawah program ini, Ketua Isi Rumah miskin tegar dan miskin dibawah eKasih yang telah dikenal pasti akan menerima bil elektrik secara PERCUMA SEHINGGA RM 40.00 SETIAP BULAN bergantung kepada jumlah penggunaan elektrik  mereka.

3. Sekiranya penggunaan elektrik adalah di bawah RM 40.00 sebulan, secara automatik Ketua Isi Rumah tersebut akan menerima bil elektrik percuma berdasarkan bil sebenarnya. Walau bagaimanapun, sekiranya penggunaan elektrik melebihi RM 40.00 sebulan, Ketua Isi Rumah tersebut hanya perlu membayar baki bil selepas ditolak bantuan rebat sebanyak RM 40.00 tersebut.

4. Program rebat bil elektrik adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kualiti hidup rakyat seperti yang telah dinyatakan dalam Bajet 2019 pada 2 hb November 2018 yang lalu.

5. Pengguna-pengguna boleh membuat semakan untuk kelayakan eKasih dan kelayakan menerima bantuan rebat bil elektrik di Portal Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) di 2
https://semakanrebat.mestecc.gov.my atau dengan menghubungi My Government Call Centre (MyGCC) di talian 03-8000 8000.

6. Pengguna juga boleh membuat semakan kelayakan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan menghubungi pihak Careline di talian 1-300-88-5454 atau membuat semakan terus di Kedai Tenaga yang berdekatan.

7. Bagi pengguna eKasih yang layak tetapi tidak mempunyai akaun berdaftar dengan TNB, pengguna boleh membuat permohonan bagi mengisytiharkan akaun pihak ketiga dengan mengisi borang permohonan di mana-mana Kedai Tenaga TNB yang terdekat bersama salinan Kad Pengenalan sebagai dokumen sokongan.

8. Bagi pengguna yang tidak layak setelah semakan dibuat dan ingin mendaftar dalam program eKasih, pengguna diminta merujuk kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan/Jabatan Pembangunan Persekutuan (PPPNegeri/JPP), ICU JPM di peringkat negeri dan di Unit Pembangunan Pejabat Daerah.

9. Program Rebat Bil Elektrik RM 40.00 merupakan program baharu diperkenalkan bermula 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2019. Program ini menggantikan Program Rebat Bil Elektrik RM 20.00 yang akan tamat pada bulan Disember 2018.


Dikeluarkan Oleh :
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Malaysia