Beg murid sekolah rendah yang berat mata memandang berat lagi bahu memikul

 

Rasanya dah memang bertahun-tahun  murid sekolah rendah membawa beban yang berlebihan di bahu mereka. Beg beroda sudah wujud sekian lama untuk membantu mereka mengurangkan beban di bahu. Beg beroda itu sendiri pula sudah sedia berat. Roda beg pula boleh cepat rosak kerana persekitaran kawasan sekolah bukanlah sebaik lantai di lapangan terbang- jauh panggang dari api! Cuma harga beg sahaja yang membuat para ibubapa berkira-kira untuk membantu anak mereka menyelesaikan masalah yang membebani sekian lama, sebaliknya memikirkan kaedah lain untuk mengatasi masalah ini.
Situasi beg berat bertambah buruk saya kira setelah KSSR diperkenalkan di mana SETIAP MATAPELAJARAN diadakan buku teks, malahan sebilangan kecil matapelajaran diadakan DUA BUAH BUKU TEKS pula. Dalam sukatan KBSR, tiada buku teks untuk matapelajaran Muzik, Pendidikan Jasmani (buku teks diintegrasikan dengan buku teks Pendidikan Kesihatan) dan Pendidikan Seni. Setiap matapelajaran pula ada buku tulis masing-masing, dua buah aku kira supaya apabila murid menghantar sebuah, ada lagi sebuah untuk ditulis di dalamnya. Ada juga matapelajaran yang gurunya tetapkan buku tulis mengikut kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid-murid, contohnya buku tulis bahasa yang terdiri daripada Tatabahasa, Kosa Kata, Pemahaman dan Penulisan. Cuma bagi matapelajaran yang diajar sekali seminggu mempunyai sebuah buku tulis.
Murid-murid memang dipesankan supaya membawa buku mengikut jadual waktu, tapi kalau dah jadual waktunya hari-hari belajar matapelajaran yang sama, bagaimana beg itu nak ringan aku pun tak nampak. Setiap hari memang belajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan diselang-selikan dengan matapelajaran lain. Sebilangan murid pula kalau kita tengok betul-betul buku di dalam beg mereka akan nampaklah bahawa mereka membawa semua buku setiap hari tanpa merujuk jadual harian.