Uruslah Harta dengan Ilmu dan Amalan Yang Soleh

☆Tadabbur Kalamullah 7 Rabiulawal 1438H☆

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar"[Surah al-Anfal 28]

#Fitnah harta dan fitnah anak sangat nyata, sedikitpun tidak tersembunyi bagi orang-orang yang berakal waras. Fitnah di sini ertinya ujian iaitu Allah ingin menguji seseorang melalui harta dan anak yang dikurniakan kepadanya.

#Harta dan anak biasanya menjadi ukuran kehidupan seseorang. Dengan memiliki harta dan anak mereka merasakan hidupnya telah lengkap dan sempurna. Atas sebab itulah manusia sanggup bersusah-payah demi mengumpul harta sebanyaknya sehingga sebahagian daripadanya tidak peduli samada halal ataupun haram. Juga ada yang terlibat dengan penipuan, rasuah dan pecah amanah demi untuk harta dan kepuasan anak-anak.

#Sabda Rasulullah saw:

“Sesungguhnya anak dapat membuat seseorang menjadi bakhil, penakut, jahil dan bersedih" (HR al-Hakim dan disahihkan dalam Sahih al-Jami')

#Maksud ayat "sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar" ialah kita disuruh agar mengutamakan ganjaran yang ada di sisi Allah iaitu dengan mengikuti hukum-hakam agamaNya, baik yang bersangkutan dengan harta benda atau anak. Malah terkadang-kadang demi mencapai ganjaran tersebut kita terpaksa mengorbankan kepentingan anak dan sebahagian harta kita. Utamakan agama dan perintah Allah daripada segalanya.

♡Namun perlu diingat bahawa harta dan anak juga merupakan aset besar untuk meraih kesenangan di alam barzakh dan tiket mudah untuk memasuki syurga. Ilmu dan amal menjana masa depan yang bahagia. Uruslah harta dan anak dengan ilmu dan amalan yang soleh♡