transformasi pendidikan adakah benar-benar transformasi atau hanya terminologi untuk lariskan nama menteri? -copy dari whatsapp-

@najibrazak
@MuhyiddinYassin
Cuba bayangkan jika cara kerja Kementerian Pendidikan kita diaplikasikan Kementerian Kesihatan.
Di hospital-hospital tidak terdapat ramai jururawat sebaliknya para doktor yang perlu melaksanakan tugas-tugas selain bidang kepakaran mereka. Apabila pesakit sampai, para doktor perlu mendaftarkan mereka dikaunter pendaftaran seperti mana guru kelas mendaftarkan para pelajar di awal tahun serta mengambil dan memasukkan data kedatangan setiap hari.
Setelah pendaftaran, para doktor perlu terlebih dahulu memasukkan data pesakit ke dalam fail pendaftaran mengikut kategori dan jenis penyakit. Sama seperti para guru yang perlu menyediakan fail untuk setiap pelajar mengikut bidang ko-kurikulum, kurikulum, disiplin dan peribadi. Belum masuk fail panitia, subjek, peperiksaan dan beratus-ratus lagi fail lain.
Dalam kekalutan para doktor yang mahu bersiap-sedia memeriksa pesakit mereka yang sakit, mereka akan kerap kali dilanda ombak-ombak pemeriksaan pegawai atasan yang datang untuk memeriksa kekemasan fail, data dan statistik. Bagaimana doktor-doktor ini boleh memeriksa dan merawat pesakit mereka dengan tenang jika asyik dikacau untuk dilihat pengurusan data dan fail mereka?
Belum kita kira jika para doktor sendiri yang perlu memandu ambulans untuk mengambil pesakit yang kemalangan jalanraya atau hampir meninggal kerana sakit jantung seperti mana para guru yang selalu-selalu disuruh menghantar para pelajar sama ada untuk menghadiri pertandingan, sakit ke klinik ataupun mengikuti rombongan.
Jika sistem sebegini diimplementasikan Kementerian Kesihatan di hospital-hospital maka semakin ramailah pesakit yang akan mati seperti mana ramainya pelajar kita yang seperti sudah ‘mati otak’ kerana walaupun 11 tahun belajar di sekolah tetapi masih berfikir dan menulis seperti budak tidak bersekolah. Untuk ini, siapa yang nak dipersalahkan? Guru? Eh, bukan kita sibuk-sibuk nak tengok para guru siapkan fail dan uruskan sekolah daripada bertungkus-lumus mengajar dan mendidik pelajar?
Memasukkan data dan statistik sama ada online ataupun offline, mengukur ketinggian dan berat badan murid, mengemaskini fail pengurusan yang beratus-ratus jenis, menghantar para murid ke sana ke sini dan pelbagai lagi benda remeh-temeh yang langsung tiada kesan signifikan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas serta sepatutnya boleh dilakukan pembantu pengurusan sekolah dengan kelulusan SPM.
Jadi, mengapa kita bersusah-payah melatih para guru dalam pedagogi dan teori pendidikan terkini jika di sekolah kita hanya perlu mereka untuk melakukan benda-benda yang remeh-temeh? Benda yang menghabiskan beratus-ratus rim kertas setiap hari hanya untuk ‘orang atas tengok’ sebelum diletakkan diatas rak sehingga berhabuk. Tambahan pula, kenapa pula orang atas sibuk nak tengok benda-benda ni? Sudah terang lagi bersuluh perkara-perkara yang remeh-temeh dan menyesakkan otak seperti pengurusan fail, data dan statistik ini semua tetap gagal membawa Malaysia gah dipersada pengukuran indeks antarabangsa seperti PISA dan TIMSS.
Transformasi pendidikan yang bakal gagal, sekali lagi.
Ambillah Fulbright Teaching Assistant daripada Amerika Syarikat ataupun guru pakar Bahasa Inggeris daripada India. Laksanakanlah subjek baru bagi menerapkan nilai moral dan sahsiah seperti yang dicadangkan Tun Mahathir baru-baru ini. Tirulah pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah mirip kaedah Finland ataupun mengadaptasi keghairahan menjawab soalan peperiksaan dalam sistem Korea Selatan dan China.
Apa sahaja teori, polisi dan cadangan penambahbaikan yang datang daripada Kementerian Pendidikan Malaysia setakat ini, saya percaya semuanya bakal gagal. Dalam masa 10 tahun daripada sekarang kita akan mengulangi semula senario kegagalan (baca: corot di PISA dan TIMSS) dan percubaan transformasi (baca: rombakan pelan pembangunan pendidikan) yang kemudiannya bakal gagal sekali lagi. Kenapa? Kerana kita tidak menyelesaikan masalah akar iaitu ‘implementasi’.
Ini bukannya sekadar teori saya semata-mata. Lihat sahaja sejarah perkembangan pendidikan kita. Perkembangan kurikulum daripada General Syllabuses, ke Pendidikan Komprehensif, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sehingga sekarang kita sudah memasuki fasa Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) serta Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang memakan masa puluhan tahun untuk dibangunkan.
Begitu juga dengan pelbagai laporan dan pelan pendidikan daripada Laporan Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan (1996), Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006 – 2010) dan kini Pelan Pambangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025).
Mengapa setelah berjalannya kesemua laporan dan pelan pendidikan ini, kita masih bakal gagal menghasilkan pelajar yang cemerlang diperingkat dunia? Saya percaya kerana jurang pendidikan kita semakin melebar terutamanya di antara pelajar dari keluarga kelas atasan dan keluarga golongan pekerja.
Pelajar dari keluarga kelas atasan mempunyai kelebihan dari segi pengaruh dan kewangan untuk menempah pendidikan terbaik di sekolah-sekolah ternama di Malaysia disamping menghadiri kelas tusyen berbayar. Sebaliknya para pelajar golongan pekerja yang mendapatkan pendidikan di sekolah-sekolah harian biasa, terpaksa bergantung harap kepada sekolah dan para guru mereka.
Namun, guru mereka tidak mungkin dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik. Kerana apa? Kerana guru mereka sibuk dikerah untuk menyediakan fail, menilik data, menyimpan statistik dan lain-lain pekerjaan remeh. Guru yang sebenarnya memegang jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kini lebih layak digelar sebagai Pegawai Pengurusan Pendidikan.
Apabila kita terlalu taksub dengan hal-hal pengurusan maka perkhidmatan pendidikan kita merudum jatuh. Kesannya, pelajar kita pergi sekolah dan tak sabar nak balik. Para guru pergi bekerja dan tak sabar nak bercuti. Para pentadbir bagi kerja dengan alasan ‘orang atas suruh buat’ sebab ‘nanti dia nak datang tengok’. Tak hairanlah kenapa kualiti pendidikan kita terus-menerus berenang di dalam longkang.
Kesimpulannya, saya lihat perkara paling utama yang perlu dilakukan untuk memulihara keberkesanan pendidikan kita adalah dengan cara mengembalikan peranan, tanggungjawab serta kedudukan guru di tempat yang sepatutnya iaitu di dalam kelas, berhadapan dengan klien utama mereka iaitu para pelajar.
Walaubagaimanapun, perkara ini masih gagal disedari mereka yang sekarang ini sedang sibuk menyuruh guru menyiapkan lima jenis laporan berasingan untuk PT3, masukkan statistik markah pelajar di dua portal yang berbeza, masukkan data kedatangan setiap hari, data disiplin setiap minggu dan pelbagai lagi kerja pengurusan lain. Semua ini atas nama ‘transformasi’ pendidikan.
Transformasi apa? Transformasi caca-marba. – 22 November, 2014.