Kepandaian berbahasa dan kepintaran pelbagai

Seperti yang kita lihat pada masa kini, kerajaan amat menekankan setiap murid dapat menguasai kemahiran berbahasa Inggeris sejak sekolah rendah lagi, dengan harapan murid ini akan dapat memenuhi permintaan pasaran bahasa Inggeris pada masa depan, dalam apa jua bidang sekalipun.
Kita sering tertanya-tanya, mengapa penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris kita masih lagi di peringkat yang tidak memuaskan. Ada baiknya jika kita menyedari sedikit-sebanyak tentang kepintaran manusia.
Setiap manusia mempunyai kepintaran. Manusia dikatakan boleh mempunyai beberapa kepintaran serentak. Keupayaan mental, fizikal dan rohaniah, semuanya kepintaran- tidak hanya tertakluk semata-mata kepada keupayaan untuk skor A dalam ujian atau peperiksaan. Contoh yang paling mudah untuk difahami ialah, jika seseorang itu boleh bermain bola sepak, dia dikatakan mempunyai kepintaran kinestatik. Tidak semua orang berupaya main bola sepak, bukan? Orang yang boleh bermain alat muzik mempunyai kepintaran bermuzik. Tidak semua orang berupaya main gitar, bukan? Orang yang dapat bergaul dengan orang lain adalah pintar interpersonal. Ada juga kera sumbang, bukan? Orang yang dapat memahami kehendak dirinya tentulah orang yang pintar intrapersonal. Pernah dengar kata-kata "Aku sendiri tak tahu apa aku nak"? Dan mereka yang dapat membaca dan memahami artikel ini adalah orang yang pintar berbahasa.
Contoh-contoh tersebut hanya sebahagian daripada senarai kepintaran pelbagai ini. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah murid dan peranan sekolah dalam perkembangan sahsiah dan kebolehan diri murid. Jika diambil permasalahan berbahasa Inggeris itu, jika mengikut kepintaran yang dicontohkan, jelaslah bahawa jika kita tidak pandai berbahasa Inggeris, kita tidak ada kepintaran itu dalam diri kita, seperti bila mana kita belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa asing itu namun hasilnya tetap sama tidak memuaskan. Jika kita mempunyai kepintaran berbahasa ini, usahkan bahasa Inggeris, banyak lagi bahasa lain boleh dikuasai dengan mudah tanpa perlu rasa terbeban. Begitulah keadaannya walaupun ruang sudah terbuka luas untuk kita mendapatkan pendedahan dan latihan yang cukup.
Maka seterusnya peranan sekolah harus jatuh pada usaha mengembangkan kepintaran yang sedia ada pada murid. Tidak lulus peperiksaan tidak bermakna akan gagal sepanjang hidup murid itu. Walaupun tidak pandai, murid mungkin pintar kinestatik. Bolehlah dia menyertai olahraga atau sukan-sukan lain. Murid yang tidak lulus peperiksaan tidak bermakna dia tiada kemahiran lain. Jika dia seorang yang pintar bermuzik, didiklah dia menggunakan muzik ke arah kebaikan. Tidak lulus peperiksaan tidak bermakna murid tidak layak bergaul dengan orang lain. Jika murid pintar interpersonal, dia boleh dididik menjalin hubungan yang sihat dalam masyarakat dengan menggunakan kata-kata yang sopan dan mengamalkan tingkah-laku yang menyenangkan. Tidak dapat 5A dalam UPSR tidak bermakna murid itu tiada kecerdasan langsung. Jika dia dilihat boleh melukis dan menggambar, dia boleh diketengahkan dalam bidang yang sesuai.
Untuk semua bakat ini dikenalpasti, adalah telah terlepas 50% tanggungjawab kerajaan dalam menyediakan matapelajaran yang sesuai seperti Pendidikan Jasmani, Pengajian agama Islam, Pendidikan Seni, Kemahiran Hidup (mungkin sekali kandungan kurikulum sesetengahnya perlu dikaji semula kerana terlalu teknikal- akan dibincangkan lain kali), dan aktiviti yang berupaya mengesan bakat seperti pengelolaan acara seperti pertandingan mewarna sempena Hari Kanak-Kanak, pertandingan koir, sukan MSSM, dan yang seumpamanya. Namun 50% tanggungjawab lagi yang perlu dikejar kerajaan ialah kemudahan yang sepatutnya disediakan untuk melengkapkan kurikulum tersedia. Contohnya beginilah- buku teks Pendidikan Jasmani Tahun 5 ada menyenaraikan gimrama sebagai salah satu pelajaran, tetapi kemudahan untuk mempelajarinya seperti dewan tidak disediakan di semua sekolah. Jangan bangkitkan untuk guru bertindak kreatif kerana untuk mengajarkan murid melontar reben gimrama tinggi ke atas kepala sambil berguling sebelum menyambutnya tidak sama sekali boleh dibuat di atas padang rumput atau di kantin sekolah.
Guru di sekolah selaras itu perlu memain peranan dalam mengesan bakat kecerdasan ini. Kerana apa? Sudah tentu atas sebab matapelajaran yang dikatakan elektif dan kurang penting itu kerana tidak tersenarai dalam UPSR diberi tanggungjawab kepada mana-mana guru tanpa mengira latar belakang pendidikan mengajarnya untuk mengajarkan mataplejaran yang dikatakan elektif tadi kepada murid-muird, malahan dihentikan seketika pula untuk ulangkaji UPSR. Apa yang akan kita hilang di sini? Tentu sekali kita tidak dapat mengesan murid yang pintar melukis, pintar menyanyi, pintar membetulkan bangku yang rosak atau pintar bersukan.
Oleh itu, usahlah terlalu mengejarkan cita-cita menyediakan pekerja yang mampu berbahasa Inggeris semata-mata. Kepintaran pelbagai itu jika diperhatikan masih ada banyak ruang untuk diperbaiki dan dimanfaatkan semaksimanya. Cubalah bantu anak-anak memperkembang kepintaran yang ada di dalam dirinya untuk manfaat hidupnya. Pupuklah mereka menyayangi dan menghargai diri mereka.

Jawab soalan-soalan untuk mengenalpasti kecerdasan anda dan seterusnya memperkembangkan kecerdasan anda.

SELAMAT MAJU JAYA